UPDATE: READ WHAT MHF PRESIDENT HAS TO SAY ABOUT THE THIRD CLASS REMARK ON WEDNESDAY
Kita kelas dunia ketiga - Nor Saiful
TELUK KEMANG - Masalah disiplin serta ketiadaan program pembangunan  yang komprehensif di kalangan pemain disifatkan sebagai punca  kemerosotan prestasi skuad hoki kebangsaan.
Pendedahan ini dibuat oleh bekas kapten pasukan hoki kebangsaan, Nor  Saiful Zaini yang kecewa dengan prestasi hambar skuad hoki kebangsaan  ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Menurut beliau, skuad hoki kebangsaan masa kini perlu berubah jika  ingin meningkatkan standard dan prestasi mereka di peringkat  antarabangsa.
''Dari pemerhatian saya, skuad hoki kebangsaan kini boleh dilabelkan  sebagai pasukan kelas dunia ketiga berbanding Korea Selatan yang semakin  jauh meningkat prestasinya. 
''Ini semua berpunca daripada pembangunan dan cara latihan serta  asuhan yang diberikan kepada pemain-pemain baru masa kini selain masalah  disiplin yang menghantui pemain," katanya ketika ditemui di Sekolah  Rendah Kebangsaan (SRK) Kg. Gelam di sini.
Jelasnya, disiplin pemain kebangsaan yang kian longgar masa kini  secara tidak langsung menyebabkan mereka boleh dianggap pemain yang  hebat di tanah air, tetapi bukan di peringat antarabangsa.
''Mereka (pemain kebangsaan) boleh dianggap hebat di kalangan pemain  tempatan tetapi bukan jenis pemain yang boleh memberikan saingan di  peringkat antarabangsa," tegasnya.
Saiful yang juga merupakan ketua jurulatih skuad hoki Tenaga Nasional  Berhad (TNB) menjelaskan, perubahan drastik perlu dilakukan segera demi  membangunkan semula kegemilangan skuad kebangsaan dalam arena sukan  hoki.
''Untuk mengatasi masalah ini, saya berpendapat Malaysia perlu  mewujudkan program intensif yang khusus dalam membangunkan pelapis bukan  sahaja yang berbakat, malah mempunyai disiplin tinggi ke arah  melahirkan pemain yang sempurna dari segi mental dan fizikal.
''Kita seharusnya mempunyai satu program khas dalam membangunkan  pemain berumur 13 hingga 18 tahun khusus untuk diserapkan ke pasukan  kebangsaan," ujarnya.
Diminta mengulas masalah disiplin yang melanda pemain kebangsaan,  Saiful memberitahu, disiplin pemain negara jauh ketinggalan jika ingin  dibandingkan dengan negara lain.
''Sebagai contoh mudah, saya pernah mengenali seorang pemain hoki  Korea yang juga merupakan pemain ketiga terbaik dunia. Namun, dia telah  digantung setahun untuk mewakili skuad negaranya ekoran ditangkap  merokok.
''Ini menunjukkan betapa ketatnya disiplin pemain luar negara  walaupun seseorang itu dianggap sebagai bintang dan hebat. Bukan seperti  pemain kita sekotak pun boleh hisap dan masih boleh mewakili negara,"  katanya dalam nada hampa.
